‘Akan teruskan agenda Kertas Putih Pertahanan’ – Tok Mat

Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan tekad meneruskan agenda Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan dalam sidang Parlimen sebelum ini.

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.

Akan teruskan agenda Kertas Putih Pertahanan - says Tok Mat
MOHAMAD memeriksa perbarisan kawalan kehormatan ketika memulakan tugas rasminya di Wisma Pertahanan hari ini. FOTO Fathil Asri.

“Kita mahu terus lakukan usaha dan menambah nilai kementerian ini dengan memastikan kertas putih yang sudah diluluskan Parlimen dapat dijayakan secepat mungkin.

“Ada di antara tujuh teras utama yang ada dalam kertas putih itu sedang dan sudah dilakukan ketika ini.

“Kita nampak ia sedang dilakukan dengan terbaik dan menjadi sebahagian teras pembangunan Wisma Pertahanan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau itu secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan, hari ini.

Beliau tiba di Dataran Wisma Pertahanan jam 3 petang selepas menghadiri mesyuarat Khas Kabinet Kerajaan Perpaduan pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Beliau turut menerima taklimat daripada Muez dan Affendi mengenai kementerian itu serta ketenteraan secara sepintas lalu termasuk makluman mengenai tahap kesiapsiagaan yang berada dalam keadaan baik.

Mengulas mengenai kapal tempur pesisir (LCS), beliau akan meneliti mengenai perkara itu terlebih dulu.

“Bagi saya duduk dulu di pejabat sebelum membuat gerak kerja,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai Bajet 2023 untuk Kementerian Pertahanan, beliau berkata, isu keselamatan adalah keutamaan bagi sesebuah negara.

“Peruntukan (bajet) bagi sesebuah negara perlu dipertimbangkan dengan kementerian lain.

“Isu keselamatan sepatutnya jadi keutamaan kerana ini penting bagi memastikan orang faham bahawa kedaulatan negara adalah keutamaan dalam mempertahankan pesisir dan sempadan negara,” katanya. – HMetro

Tok Mat komited terus jayakan Kertas Putih Pertahanan